Pengharaman Buku Islam: Antara Kawalan dengan Kebebasan
Pengharaman Buku Islam:
Antara Kawalan dengan Kebebasan
Jeniri Amir
Pengenalan
Buku diterbitkan dan diharamkan atas pelbagai
sebab dan tujuan. Buku diterbitkan sebagai wadah untuk menyebarkan dan
memulihara ilmu dan fikiran. Buku mengembangkan dan memperluaskan ufuk
intelektual dan memberi pencerahan kepada banyak misteri kehidupan, alam,
kewujudan manusia dan bidang ilmu. Buku digunakan untuk mendidik manusia demi
kemajuan dan survival bangsa. Hakikatnya,kemajuan bangsa dan negara bergantung kepada
kepesatan penerbitan buku. Jumlah buku yang diterbitkan menjadi petanda dan
kemajuan sesuatu bangsa dan negara. Hal ini bukan sahaja meliputi jumlah buku
yang diterbitkan serta bidang ilmu yang ditulis, tetapi meliputi pemasaran dan
pengedaran buku yang diterbitkan, serta tahap pembacaan dalam kalangan
masyarakat (Md Sidin Mohd Ishak, 1998).Langkah dan tindakan mengharamkan buku bukan baru bermula pada abad ini atau dekad ini. Langkah pengharaman sebenarnya telah diamalkan sejak ribuan tahun lalu. Dalam sejarah China, zaman ‘Spring and Autumn Period‘ dan ‘Warring States Period‘ muncul banyak ilmuwan, pakar strategi, dan cendekiawan. Zaman berkenaan disifatkan sebagai zaman kegemilangan pelbagai jenis aliran pemikiran dalam memahami isu dan masalah masyarakat sehingga zaman itu dikenali sebagai ‘Hundred Schools of Thought‘. Namun, apabila Maharaja Qin Shi Huang berjaya menakluk kesemua enam buah negeri pada tahun 221 SM, atas nasihat daripada penasihatnya, Li Si, beliau telah mengorak langkah pengharaman wacana yang bertentangan dengan falsafah pentadbirannya, iaitu legalisme. Buku-buku yang mengemukakan idea yang bertentangan dengan legalisme telah diharamkan, manakala 460 orang cendekiawan dan ilmuan ditanam hidup-hidup (Hazman Baharom, 2016).
Daripada 320 juta buku pernah diterbitkan di
dunia setakat ini, sebahagiannya telah diharamkan oleh negara tertentu, termasuk
Malaysia. Pelbagai sebab buku disekat dan
diharamkan penerbitan dan pengedarannya. Antaranya, kerana dipercayai dapat mengancam
keselamatan dan ketenteraman awam, menggugat kedudukan pemimpin politik,
mempunyai unsur kelucahan yang melampau, menyentuh isu perkauman dan keagamaan
sehingga boleh mencetuskan ketegangan hubungan etnik dan agama, serta menghasut. Karya yang menyebarkan ajaran
yang bercanggah dengan ajaran agama yang sebenarnya, serta dipercayai menista
dan mempersenda agama turut diharamkan.
Antara Hak Semula jadi
dengan Hak Perundangan
Berbicara tentang kebebasan dan kawalan secara
langsung mengheretkan kita ke dalam perbincangan berkaitan dengan hak semula
jadi (natural rights) dan hak
perundangan (legal rights). Penulis,
pengarang, penerbit, pencetak dan pengedar buku amat memerlukan hak semula jadi
dalam kerangka kebebasan bersuara dan mengemukakan pendapat.
Tanpa hak kebebasan bersuara, menulis dan mengemukakan pendapat dan fikiran,
tentu manusia akan terpenjara di dalam jeriji mindanya. Malah, kesannya amat
mendalam terhadap kemajuan fikiran dan bangsa. Survival bangsa dan negara
banyak bergantung kepada kemajuan ilmu dan fikiran, dan sebahagian daripada
idea dan fikiran berkenaan digagaskan melalui buku.
Sebaliknya,
golongan yang menegakkan hak perundangan seperti kerajaan, jabatan yang diberi
tanggungjawab pula berpendirian bahawa masyarakat dan pembaca perlu dikawal kerana
kebebasan mutlak hanya akan merosakkan masyarakat dan negara. Maksudnya, undang-undang hanya boleh dikenakan
terhadap pengkarya dan penerbit untuk menyekat kebebasannya menzahirkan
perasaan dan fikiran kalau semasa melaksanakan hak berkenaan ia menyinggung dan
menjejaskan hak orang lain serta menimbulkan ancaman. Undang-undang dan akta
diwujudkan berdasarkan prinsip untuk memastikan pelaksanaan kebebasan tidak
melampau batasan. Kawalan bukan hanya melalui undang-undang dan akta,
sebaliknya boleh berlaku melalui tekanan hegemoni politik. Sistem dan dasar
komunikasi, termasuk penerbitan di negara ini tidak wujud dalam kepakuman,
sebaliknya falsafah yang mendasarinya adalah dipengaruhi oleh sejarah, politik,
budaya, agama, sistem nilai dan demografi penduduknya.
Bagi penulis dan penerbit serta pejuang
kebebasan bersuara, tindakan dan amalan mengharamkan buku merupakan sejenis
kawalan dan pencerobohan terhadap kebebasan bersuara dan menzahirkan pendapat,
selain bertentangan dengan hak asasi. Hak
bersuara, menulis dan menerbit dianggap oleh golongan ini sebagai hak semula jadi yang dimiliki oleh setiap
individu sejak lahir, dikurniakan oleh Tuhan, tidak bergantung kepada
undang-undang, adat, atau kepercayaan mana-mana budaya atau kerajaan tertentu.
Ia merupakan hak yang tidak boleh dipisah atau
diubah. Bagi mereka idea dan penerbitan idea dan pemikiran tidak boleh
dilarang. Apa yang boleh dilakukan, idea itu perlu dibahas, diperdebatkan
dan diwacanakan. Hak semula jadi ini
dikategorikan di bawah hak kebebasan bersuara dan kebebasan berpendapat. Hak ini merupakan satu daripada 30 perkara Deklarasi
Universal Hak Asasi Manusia yang melibatkan setiap negara Pertubuhan Bangsa-Bangsa
Bersatu (PBB), termasuk Malaysia.
Soal kebebasan bersuara bukannya
baharu. Kebebasan dalam konteks penerbitan buku bermaksud, penulis, pengarang
dan penerbit boleh menulis dan menerbitkan buku yang patut diketahui oleh
pembaca dan masyarakat tanpa perlu memikirkan implikasinya. Sesuai dengan falsafah
negara ini dan demografi penduduknya, dengan sebahagiannya beragama Islam, buku
yang menyentuh sensitiviti utama Islam dan bercanggah dengan ajaran agama
berkenaan amat diberikan perhatian. Kita sebenarnya mengamalkan kebebasan yang
terpimpin dalam lingkungan akta dan undang-undang sedia ada. Mesin cetak masih
lagi dikawal, manakala tindakan boleh
dikenakan di bawah peraturan oleh Kementerian Dalam Negeri. Buku Islam juga
tertakluk kepada garis panduan dari segi
penerbitan agama sesebuah negeri.
Ilmuan Islam, Abdus Salam al-Basyyouni
menyatakan bahawa setiap individu berhak untuk mempunyai pandangan yang berbeza
daripada orang lain dan mempunyai jaminan perlindungan ke atasnya terhadap suara
luahannya itu. Menyekat sesuatu kritikan atau pandangan yang berbeza daripada
pandangan dan pendirian orang lain merupakan pencabulan ketara terhadap hak
semula jadi manusia. Implikasinya, para penulis mempunyai hak atau keistimewaan
untuk menerbitkan karya (Nur Ain Shahirin Abdul Aziz, 2015).
Seharusnya para penulis mempunyai kekebalan daripada sebarang ancaman yang
menghalang penerbitan karya mereka termasuklah daripada badan perundangan. Wujudnya keistimewaan para penulis dalam
mengemukakan pendapat mereka adalah atas dasar pemilikan ke atas hak semula
jadi yang dipegang oleh setiap manusia, yang tidak boleh dicabul oleh sesiapa
atau mana-mana badan perundangan pun dan ini sekali gus membebaskan mereka
daripada sebarang tanggungjawab untuk mematuhi apa-apa bentuk tuntutan yang
mencabul hak semulajadi mereka (Nur Ain Shahirin Abdul Aziz, 2015).
John Milton, dalam ucapan di Parlimen England
bertajuk Areopagitica, yang dibuat
dalam konteks kebebasan bersuara yang lebih luas di England, merayu supaya
mesin cetak dibebaskan daripada pelesenan, manakala
penerbitan dibebaskan daripada penapisan. Katanya; “Berilah aku kebebasan untuk
mengetahui, untuk bersuara, dan untuk berhujah secara bebas, menurut rasa hati,
mengatasi kebebasan yang lain” (Mohd Safar
Hasim 2005).
Sebagai sebuah negara merdeka yang
mengamalkan demokrasi, Malaysia turut memberi kebebasan, tetapi kebebasan yang
terkawal dan terpilih kepada rakyatnya untuk bersuara, termasuk dari segi
penulisan dan penerbitan buku, lebih-lebih lagi berkaitan dengan agama Islam.
Kebebasan berkenaan diperlukan bagi memungkinkan wujudnya pasar bebas maklumat,
fikiran dan pandangan asalkan tidak bercanggah dengan akta dan undang-undang
yang telah diwartakan. Penerbitan buku Islam dapat membantu umatnya memahami
tanggungjawab dari segi fardu ain dan fardu kifayah, selain bidang-bidang lain
yang dapat membantu untuk memajukan umat, termasuk dari segi politik,
pendidikan, ekonomi, kewangan, teknologi, sains dan sebagainya.
Kebebasan
yang melampau, keterlaluan dan tanpa batasan dianggap boleh merosakkan dan
membinasakan masyarakat
dan negara. Tidak seperti penerbit akhbar dan majalah yang bersifat berkala,
penulis dan penerbit buku tidak perlu memohon permit untuk menerbitkan buku.
Namun demikian, setiap buku yang diterbitkan wajib diserahkan kepada
Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) atau perpustakaan negeri berkaitan.
Bagi pihak berkuasa, pengharaman buku bertujuan untuk menjaga
ketenteraman awam, moraliti, dan juga
penistaan agama. Justeru, mengikut falsafah berkenaan, kebebasan yang diamalkan
hendaklah berpandukan kebebasan yang bertanggungjawab, dan bukannya kebebasan
tuntas dan mutlak. Penyaringan dan kawalan dilakukan untuk kepentingan politik,
agama, moral, dan juga komersial.
Hak ini tergolong di bawah perundangan, iaitu kuasa atau autoriti yang diberikan kepada pihak kerajaan
oleh rakyat bagi melindungi hak semula jadi setiap rakyat daripada dicabul.
Menurut Nur
Ain Shahirin Abdul Aziz (2015), hak perundangan wujud apabila rakyat mengiktiraf
sebuah badan kerajaan untuk menjadi sebuah badan autoriti yang berkuasa
mengawal individu daripada menyalahgunakan hak
semula jadi masing-masing untuk mencabuli hak semula jadi individu lain. Sebaliknya,
pihak yang terlibat dalam pengharaman ini sering menggunakan justifikasi bahawa
ia merupakan hak perlembagaan untuk menggubal undang-undang atas alasan untuk
menjaga ketenteraman masyarakat sivil − memilih definisi masyarakat sivil oleh
John Locke sebagai sebuah masyarakat yang memilih berada di bawah kekuasaan
legitimasi yang melindungi kesejahteraan mereka serta bertanggungjawab merangka
undang-undang untuk mentadbir masyarakat tersebut.
Pada
abad ini dan dekad ini, buku masih lagi diharamkan di seluruh dunia, termasuk
di Malaysia. Tidak ada negara di dunia yang memberi kebebasan mutlak kepada
penulis, penerbit dan pencetak untuk menerbitkan karya sesuka hati. Alasan dan
justifikasi penyaringan, kawalan dan pengharaman berbeza daripada sebuah negara
kepada negara lain. Karya yang menyemarakkan kebencian diharamkan di sebahagian
negara termasuk di Sewden meskipun buku yang sama dibenarkan untuk diedarkan di
Amerika Syarikat. Di Amerika Syarikat, negara yang dikatakan mengamalkan
kebebasan, masih mengenakan
sekatan terhadap buku, baik oleh pihak sekolah atau perpustakaan awam meskipun
ditentang keras oleh Persatuan Perpustakaan Amerika. Di perpustakaan seperti
British Library dan Library of Congress, buku erotik ditempatkan di koleksi
atau bahagian khas.
Di Malaysia, penyaringan dilakukan
terhadap hampir semua jenis karya seni dan sastera, termasuk filem,
drama, akhbar, majalah, dan buku. Negara ini telah mengharamkan lebih 100 filem
dalam tempoh sedekad lalu atas nama moraliti dan akhlak. Banyak akhbar
diharamkan sehingga kedudukan kita dari segi kebebasan pada 2016 berada pada tangga 146 daripada 180
negara menurut Worldwwide Press Freedom
Index oleh Reporters Without Borders.
Mengikut indeks berkenaan, kebebasan diberi indeks antara satu hingga tujuh,
dengan satu paling bebas dan tujuh
paling terkawal. Malaysia diberi markah empat mata untuk hak politik dan
kebebasan awam.
Golongan yang berpegang kepada teori liberalisme bertegas
dengan pendirian supaya buku, termasuk buku Islam tidak diharamkan. Mereka
berhujah pihak berkuasa, termasuk KDN dan Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) jika merasakan
bahawa buku tersebut mengancam akidah, buatlah wacana untuk mendapat hujah dan wacana tandingan. Maksudnya, wacana dan wacana tandingan
terutama melalui buku dan perbincangan perlu dipupuk dan digalakkan seuai
dengan hasrat mahu mewujudkan rakyat yang berfikiran analitis dan kritis.
Mereka berpendirian bahawa mengharamkan buku dan sebarang karya hanya akan
menutup ruang ke arah wacana intelektual. Selain mematikan intelek rakyat, pengharaman
buku juga akan melambatkan pencerahan rakyat (Hazman Baharom, 2012).
Sebagai akibatnya, menurut Hazman, ia
boleh mendatangkan beberapa kesan, antaranya masyarakat tersebut akan gagal
keluar daripada ‘zon selesa’, yang akhirnya menjadikan masyarakat tersebut
gagal mencapai kemajuan fizikal, intelektual, dan spiritual. Pengharaman
buku adalah sia-sia pada zaman internet
dan ledakan teknologi komunikasi dan maklumat kerana manusia masih boleh
mengakses buku-buku tersebut melalui internet atau berkongsi melalui
laman-laman sosial.
Hanya golongan yang dapat membaca karya-karya yang diharamkan sahaja
yang mampu membawa idea dan pemikiran
untuk dibahaskan dan diperdebatkan.
Pengharaman buku, biasanya dilakukan atas rasional untuk mengelakkan mudarat yang besar, akhirnya menjadi
penyebab kepada mudarat yang lebih besar lagi. Immanuel Kant, dalam adikarya
beliau, Was Ist Aufklärung berpendapat bahawa kebebasan merupakan
prasyarat terpenting untuk masyarakat menjadi tercerah dan berani berfikir.
Sebarang percanggahan dan
pertentangan pendapat seharusnya
ditangani dengan pendekatan balas yang sama, dengan matang dan berhikmah. Dalam hubungan ini, Mohd Asri Zainal amat bimbang pendekatan yang dibuat oleh KDN
mengharamkan buku-buku yang tidak selaras dengan pandangan panel yang dilantik
oleh mereka. Tindakan sedemikian menurut beliau kemungkinan boleh menjuruskan
negara kepada sikap antiakademik, jumud dan tidak terbuka. Tindakan berkenaan
bukanlah pendekatan yang dapat membantu untuk membangunkan minda rakyat dan
percambahan ilmu (Berita Benar, 1 Jun 2016).
Pengharaman buku oleh badan-badan kerajaan atas nama
autoriti bukanlah sesuatu yang baru dalam sejarah penerbitan tanah air. Bermula
dengan Mao Tse-Tung Yang Agong Ada-lah Gilang Gemilang sebagai karya
sulung yang diharamkan pada 1971, sehingga kini jumlah buku yang diharamkan
oleh KDN telah mencecah lebih 1500, tidak termasuk buku-buku yang diharamkan
oleh badan-badan kerajaan lain, seperti Jakim.
Isu pengharaman buku amat berkait
rapat dengan persoalan hak dan kebebasan apabila DKT Liberty Project yang
giat mempertahankan hak dan membela kebebasan rakyat Amerika Syarikat menjadi
salah sebuah pertubuhan yang bertanggungjawab mendanai Banned Books Week pada
tahun ini. Malah, sejak 1982, telah diadakan “Banned Books Week” susulan peningkatan mendadak buku disekat di
sekolah, kedai buku dan perpustakaan di Amerika Syarikat. Menurut Persatuan Perustakaan
Amerika, lebih daripada 11,300 buku telah dicabar dan dikawal.
Garis Panduan Kementerian
Dalam Negeri dan Jakim
Di
bawah garis panduan penerbitan, Kementerian Dalam Negeri menurut seksyen 7(1)
Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, kawalan meliputi aspek berkaitan bahan
yang memudaratan ketenteraman awam, keselamatan, kemoralan, menggemparkan
fikiran orang ramai, berlawanan dengan mana-mana undang-undang, memudaratkan
kepentingan awam dan kepentingan negara.
Hasil
penerbitan tak diingini dari segi agama, termasuk menyebarkan ajaran salah,
menyeleweng atau mempersendakan agama Islam dan agama-agama lain yang diamalkan
di Malaysia. Penerbitan yang menggemparkan fikiran orang ramai merujuk kepada
karya dan penerbitan yang diperbesar-besarkan, digembar-gemburkan, atau yang
mengelirukan dan menimbulkan salah faham. Perkara-perkara yang dilarang di
bawah garis panduan berkenaan termasuk isi kandungan yang menyentuh sensitiviti
keagamaan, penggunaan bahasa yang lucah, kasar dan kesat, serta sebarang bentuk
karya atau nukilan yang secara jelas atau kiasan mengenai perlakuan seks. Juga,
menganjurkan cara hidup bebas di luar batasan agama dan peradaban masyarakat
seperti memaparkan
cerita-cerita berkesedudukan, penzinaan, homoseksual, dan sumbang mahram.
Yang turut dilarang ialah ruangan
soal jawab seks yang terperinci dan bukan berbentuk ilmiah kecuali dalam
penerbitan khusus untuk kesihatan dan perubatan, tetapi bukannya keterlaluan.
Selain itu, cerita-cerita misteri dan mistik yang bercanggah dengan akidah
Islam juga turut dilarang. Garis panduan di bawah Akta Mesin Cetak dan Penerbitan
1984 juga melarang penerbitan agama selain daripada agama Islam menggunakan
istilah-istilah khusus agama Islam, iaitu Allah, Baitullah, solat, dan Kaabah
kecuali bagi menerangkan istilah-istilah berkenaan. Juga, penerbitan berkenaan
tidak mengandungi penulisan ayat-ayat al-Quran dengan tulisan selain daripada
bahasa Arab. Larangan dari segi gambar pula adalah berkaitan dengan ilustrasi,
lukisan, lakaran dan seumpamanya wajah para nabi dan Rasul, para malaikat,
empat orang Khulafar-Rasyidin serta isteri para Nabi dan Rasul.
Menurut Seksyen 8 dan subseksyen 2 Akta
Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, adalah menjadi kesalahan untuk
mana-mana pihak yang mencetak, mengimport, menghasilkan
semula, menerbit, menjual, mengeluar, mengedar atau memilki penerbitan larangan
dan kesalahan itu boleh dikenakan tindakan.
Mereka yang didapati bersalah oleh mahkamah boleh dipenjara tidak lebih
daripada tiga tahun atau didenda tidak melebibhi RM20,000, atau kedua-duanya
sekali.
Selain daripada garis panduan yang
dikeluarkan oleh Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, Kementerian
Dalam Negeri di atas, sesuai dengan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, pihak
Jakim juga mengeluarkan panduan berkaitan penerbitan, iaitu Garis Panduan
Penapisan Bahan-bahan Penerbitan Berunsur Islam. Garis panduan itu menekankan
bahan yang diterbitkan tidak
mengandungi perkara yang menyentuh kesucian Islam, tidak mempropagandakan
akidah, hukum dan ajaran yang bercanggah dengan Mazhab Ahli Sunnah Wal-Jamaah,
tidak mempersendakan dan mempersoalkan kewibawaan sumber hukum Islam yang utama,
iaitu al-Quran, Sunnah, Ijma dan Qias. Bahan berkenaan tidak boleh bercanggah
dengan pegangan Mazhab Ahli Sunah Wal-Jamaah, tidak bertentangan dengan fatwa
atau pendapat
Jumhur Ulama, tidak mengandungi unsur Israiliat, khurafat dan kebudayaan karut,
serta tidak menimbulkan keraguan dan kegelisahan awam. Garis panduan berkenaan
turut menekankan, bahan terbitan tidak mengandungi penulisan ayat-ayat al-Quran
dengan tulisan selain daripada bahasa Arab, tidak menyalahi fakta sejarah, dan
tidak mengilustrasikan gambar-gambar para Nabi, Sahabat yang Empat, malaikat
serta memperwatakkan gambar-gambar tersebut.
Bagi negeri-negeri tertentu pula, ia mempunyai
peraturan tertentu. Bagi negeri Pulau Pinang, misalnya di bawah subseksyen 48(3) dan (4)
Enakmen Pentadbiran Agama Islam 2004, bukan Islam di Semenanjung tidak
dibenarkan menggunakan kalimah atau perkataan seperti berikut dalam penerbitan,
iaitu : Allah, Firman Allah, Ulama,
Hadith, Ibadah, Kaabah, Qadhi, Illahi, Wahyu, Mubaligh, Syariah, Qiblat, Haji,
Mufti, Rasul, Iman, Dakwah, Wali, Fatwa, Imam, Nabi, Sheikh, Khutbah, Tabligh,
Akhirat, Azan, Al Quran, As Sunnah, Auliya, Karamah, Syahadah, Baitullah, Musolla,
Zakat Fitrah, Hajjah, Taqwa" dan Soleh.
Pengharaman terhadap karya
sastera
Karya
sastera turut tidak terlepas daripada diambil tindakan oleh KDN. Penulis novel
tempatan, Faisal Tehrani merupakan
penulis yang karyanya banyak diharamkan oleh KDN. KDN mengharamkan lima judul buku
karya Faisal, iaitu Perempuan Nan
Bercinta terbitan ITBM, Sebongkah Batu Di Kuala Berang terbitan PTS Litera Utama Sdn Bhd, Karbala
terbitan Abeerden Books World, Tiga Kali Seminggu dan Ingin Jadi
Nasrallah, kedua-keduanya terbitan Al-Ameen Serve Holdings Sdn Bhd.
KDN telah mewartakan
perintah larangan terhadap novel Perempuan
Nan Sebatang mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984
(Akta 301) yang menetapkan bahawa segala hasil penerbitan yang mungkin
memudaratkan ketenteraman awam adalah dilarang secara mutlak di seluruh negara.
Menurut KDN, novel itu diharamkan
bagi bagi menghalang cubaan menyuntik propaganda Syiah menerusi karya kreatif
yang mungkin menyasarkan golongan akademik dan remaja. KDN berkata, ia mungkin boleh
mendatangkan implikasi negatif dengan mengelirukan pegangan syariat (Ahli
Sunnah Wal Jamaah) umat
Islam di negara ini dan memberi implikasi serius dari sudut keselamatan dan
sosial masyarakat Islam. Kata KDN, pertembungan dua aliran antara Ahli Sunnah
Wal Jamaah dan Syiah juga dikhuatiri dapat mencetuskan ancaman keselamatan dan
ketenteraman umat Islam.
Novel itu dikatakan
mengandungi unsur-unsur yang mempertikai dan memperlekeh hadis-hadis yang
diriwayatkan oleh Ahli Sunnah Wal-Jamaah dan seolah-olah mendiskriminasi kaum
wanita. Novel Perempuan Nan Bercinta bagi KDN turut didapati mendewa-dewakan Ahlul
Bait secara berlebihan dan menafikan Ahli Sunnah Wal-Jamaah sebagai mazhab yang
diterima. Malah,
KDN menjelaskan terdapat cubaan membawa hadis palsu berkenaan keutamaan
Ahlul Bait seperti yang terkandung di dalam kitab-kitab Syiah. Golongan yang
dikatakan tidak mengikut Ahlul Bait (seolah-olah ajaran Syiah) sebagai golongan
yang diragui. Wujud unsur
seolah-olah ajakan menentang pihak berkuasa Ahli Sunnah Wal-Jamaah dengan
alasan kebebasan bermazhab.
KDN berkata, larangan penerbitan novel tersebut
bertepatan dengan keputusan Muzakarah Khas Jawatankuasa
Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam yang bersidang pada 5 Mei
1996. Di dalam muzakarah
tersebut telah diputuskan ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah
Wal-Jamaah adalah bercanggah dengan hukum syarak dan undang-undang Islam. Muzakarah juga menetapkan semua
umat Islam di negara ini adalah tertakluk kepada undang-undang Islam dan hukum
syarak yang berasaskan pegangan ajaran Ahli Sunnah Wal-Jamaah. KDN menegaskan setiap penerbitan,
penyiaran dan penyebaran buku, risalah, filem mahupun video berhubung ajaran
Islam yang bertentangan dengan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah
diharamkan (Utusan Malaysia, 2 Mei
2014). Berkaitan empat lagi judul lain karya penulis berkenaan yang diharamkan,
Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran Kementerian Dalam Negeri
Hasmimah Nik Jaafar dilaporkan berkata buku-buku itu dikenakan Perintah
Larangan Penerbitan berkuat kerana mengandungi unsur-unsur yang memudaratkan
ketenteraman awam dan keselamatan.
Bagi penulisnya, Faisal, pengharaman
itu adalah perkembangan sihat kerana sastera Melayu ketika ini berada dalam
keadaan suram di sebalik pelbagai sayembara dianjurkan bagi memulihkan keadaan
itu. Kata Faisal; "Ini adalah
rahmat besar di bulan Rejab. Saya yakin akan mendapat lebih ramai pembaca
baru." Faisal yang sudah menulis
lebih daripada 20 novel dengan sinis "menyambut baik" langkah KDN
mengharamkan bukunya-bukunya. Bagi penulisnya, amat payah untuk orang
membuktikan terdapat “unsur-unsur yang memudaratkan ketenteraman awam dan
keselamatan” dalam buku berkenaan. Sebabnya, ramai yang tidak tahu, drama
'Karbala' pernah disiarkan dalam
Dewan Sastera, terbitan DBP dari Disember 2006 sehingga Julai 2007. Dalam
reaksinya, Faisal berkata: “Seingat aku lapan bulan drama itu tersiar, tidak
ada rusuhan berlaku. Lapan bulan adalah satu tempoh agak lama. Ada orang
berjimak, hamil, kandungannya membesar dan beranak awal ketika usia kandungan
itu lapan bulan.” Anehnya, karya dalam bentuk buku diharamkan pada April 2015,
iaitu sembilan tahun selepas pertama
kali diterbitkan.
Bagi penulisnya, Faisal, pengharaman
itu adalah perkembangan sihat kerana sastera Melayu ketika ini berada dalam
keadaan suram di sebalik pelbagai sayembara dianjurkan bagi memulihkan keadaan
itu. Kata Faisal; "Ini adalah
rahmat besar di bulan Rejab. Saya yakin akan mendapat lebih ramai pembaca
baru." Faisal yang sudah menulis
lebih daripada 20 novel dengan sinis "menyambut baik" langkah KDN
mengharamkan bukunya-bukunya. Bagi penulisnya, amat payah untuk orang
membuktikan terdapat “unsur-unsur yang memudaratkan ketenteraman awam dan
keselamatan” dalam buku berkenaan. Sebabnya, ramai yang tidak tahu, drama
'Karbala' pernah disiarkan dalam
Dewan Sastera, terbitan DBP dari Disember 2006 sehingga Julai 2007. Dalam
reaksinya, Faisal berkata: “Seingat aku lapan bulan drama itu tersiar, tidak
ada rusuhan berlaku. Lapan bulan adalah satu tempoh agak lama. Ada orang
berjimak, hamil, kandungannya membesar dan beranak awal ketika usia kandungan
itu lapan bulan.” Anehnya, karya dalam bentuk buku diharamkan pada April 2015,
iaitu sembilan tahun selepas pertama
kali diterbitkan.
Anehnya, buku berkenaan turut dibeli
oleh Perpustaakan Negara Malaysia di bawah dana untuk penulis dengan tunjuan untuk
memajukan dan mempelbagaikan karya terbitan di dalam industri perbukuan negara.
Selain itu, dana tersebut diwujudkan bagi menunjukkan komitmen Perpustakaan
Negara Malaysia dan penglibatan jabatan dalam membantu perkembangan industri
perbukuan negara khususnya kepada golongan penulis tempatan. Justeru, bukan sahaja penulis menyifatkan pengharaman
tersebut sebagai tindakan yang aneh, tetapi juga pembaca dan masyarakat pada
amnya. Sebab, bagaimana buku boleh
diharamkan dengan tidak semena-mena setelah sembilan tahun.
Bagi Faisal, alasan yang dibuat
bahawa beliau menerapkan unsur-unsur Syiah, termasuk dalam drama Karbala adalah satu lagi usaha
mentololkan khalayak. Dengan memetik
Saidina Ali dalam Nahjul Balaghah,
bahawa ‘An-Nas a'da'u ma Jahilu’; ‘Manusia selalu memusuhi apa yang dia tidak
benar tahu.’ Mengapakah beliau menulis drama 'Karbala'? Aku pernah mendengardakwaan segelintir sarjana kita yang
dalam agama Islam tidak ada sebarang bentuk seni persembahan teater.
KDN turut mengharamkan karya penulis
luar, The Satanic Verses karya Salman
Rushde. Buku
ini disambut baik oleh pengulas buku di United Kingdom, dan tercalon sebagai
finalis Hadiah Booker 1988. Bagaimanapun, novel itu mencetuskan kontroversi
hebat dalam kalangan umat Islam kerana didakwa banyak berisi kekufuran. Akibat kontroversi makin meluas, buku ini
diharamkan di beberapa negara, termasuk di Malaysia, dan dibakar ketika tunjuk perasaan di United Kingdom. Pada bulan
Februari 1989, berikutan rusuhan ganas yang menentang buku ini di Pakistan,
pemimpin agung Iran, Ayatolah Khomeini
yang juga seorang ilmuan Syiah mengeluarkan fatwa yang menyeru semua umat Islam yang
beriman agar membunuh Rushdie dan pihak penerbitnya, atau menyerahkan beliau
kepada sesiapa yang boleh membunuhnya sekiranya mereka tidak berupaya
melakukannya sendiri.
Banyak Buku Islam diharam
Pada 2006,
sebanyak 56 penerbitan diharamkan oleh KDN, termasuk terjemahan buku Indonesia
karya Charles Darwin, On The Origin of
Species. KDN turut mengharamkan Bible
dalam bahasa Iban, kerana mengandungi kalimah "Allah Ta'ala", namun
pengharaman itu telah ditarik balik. Pada
2008, Sisters in Islam (SIS) terkejut apabila buku terbitannya turut
diharamkan. Buku Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism, ialah
suntingan Norani Othman, seorang profesor sosiologi di Institut Kajian Malaysia
dan Antarabangsa (Ikmas), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Menurut KDN,
buku itu dilarang kerana "mengandungi fakta yang menyeleweng daripada
ajaran Islam sebenarnya".
KDN turut mengharamkan
buku karya seorang ahli akademik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)
yang diterbitkan oleh Sisters-in-Islam (SIS) pada 2008. SIS merupakan sebuah pertubuhan bukan
kerajaan (NGO) yang dianggotai
sekumpulan wanita profesional beragama
Islam yang memperjuangkan hak-hak
wanita dalam islam . SIS menekankan
pentingnya untuk mentafsir semula
al-Quran dan hadis mengikut konteks
sejarah dan budaya. Buku-buku itu
dilarang kerana "mengandungi fakta yang menyeleweng daripada ajaran Islam
sebenarnya". Buku terbitan SIS berjudul Muslim Women and the Challenge of Islamic Extremism suntingan
Norani Othman, seorang profesor sosiologi di Institut Kajian Malaysia dan
Antarabangsa (Ikmas), Bangi.
Buku setebal 215 halaman itu memuatkan 10 bab hasil karangan beberapa
pemikir wanita Asia Tenggara dan Timur Tengah. Norani, bertindak sebagai
penyunting karya tersebut, mengarang makalah pertama yang dijadikan judul buku
berkenaan. Selain dua penulis ini dan Toni Kasim dari Malaysia, penyumbang lain
termasuklah Fatma Khafagy (Mesir), Kamala Chandrakirana (Indonesia), Ziba
Mir-Hosseini (Iran), Amina Lemrini El Ouahabi (Maghribi), Hoda Rouhana
(Palestin), Norma A Maruhom (Filipina) dan Suzaina Kadir (Singapura).
Ketua penolong setiausaha Bahagian
Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran KDN, Abdul Razak Abdul Latif berkata,
sebuah lagi buku yang diharamkan bertajuk Pelik
Tapi Benar Dalam Solat karya Abdul Rahman Mohamed. Kedua-dua buku berkenaan
dikenakan perintah larangan mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan
Penerbitan 1984 (25 jan 2010). Walau
bagaimanapun, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menarik balik pengharaman buku 'Muslim Women and the Challenge of
Islamic Extremism' yang dikuatkuasakan lebih setahun setengah.
Ia diharamkan oleh kementerian dalam negeri pada 31 Julai 2008 atas
alasan ia boleh mengugat ketenteraman awam. Ia juga dikatakan boleh menyebabkan
kekeliruan di kalangan umat Islam, khususnya wanita. Dalam penghakimannya,
petang tadi, hakim Mohamad Ariff Md Yusof berkata dia gagal melihat bagaimana
buku berkenaan boleh menganggu ketenteraman awam seperti yang didakwa. Buku
berkenaan berada di pasaran sejak 2005 tetapi hanya diharamkan pada 2008.
Lagipun, hanya tujuh
daripada 215 muka surat yang didakwa boleh memudaratkan. Norani berkata
penghakiman itu adalah berita baik bagi kebebasan berakademik. Buku itu tidak
menyentuh prinsip Islam tetapi mengenai undang-undang keluarga Islam dan
undang-undang jenayah Syariah. Hampir separuh daripada 3,000 berkenaan telah
terjual sebelum ia diharamkan.
Buku Pelik Tapi Benar Dalam Solat
yang dikeluarkan oleh Telaga Biru menurut Mohd Asri Zainal (2008) tidak mempunyai
perkara yang bercanggah dengan al-Quran atau al-Sunnah, bahkan penulisnya
mengemukakan alasan-alasan ilmu yang dipegangnya. Mufti Perlis itu menyifatkan alasan pengharaman buku-buku
oleh KDN sebagai lambang "sikap primitif yang tidak layak bagi masyarakat
moden" dan "zaman kegelapan" Eropah. Alasan-alasan pengharaman
yang hanya menyebut 'boleh mengelirukan orang ramai', lalu sesebuah buku
diharamkan amat tidak munasabah (Malaysiakini, 10 Oktober 2008). Bagi beliau, mungkin ada beberapa perbezaan pendapat
dalam kalangan sarjana dalam perkara-perkara yang disebutkan itu, tapi bukan bercanggah dengan
prinsip Islam. Beliau mahu pihak terbabit saya mengemukakan bukti secara ilmiah
bertulis bukan ‘main cakap sahaja’. Kata beliau; “Tanpa mengira siapa pun panel
yang telah mereka lantik. Ilmu tidak diukur dengan jawatan tetapi fakta dan
angka. Kalau panel berkenaan mahu buku mengikut kehendak mereka, merekalah yang
tulis. Hak penulis mengemukakan alasan-alasannya. Dalam Islam, selama mana ia
tidak menyanggahi al-Quran dan al-Sunnah, biarlah dunia ilmiah itu bercambah.”
Menurut
Mohd Asri lagi, kecenderungan mengharamkan bahan-bahan akademik atau ilmiah
tanpa alasan yang konkrit boleh merosakkan percambahan ilmu. “Jika manusia yang
hendak dihukum pun dimestikan untuk dikemukakan alasan yang cukup, apakah boleh
bahan ilmiah yang menjadi keperluan asas manusia dihukum tanpa alasan yang
jelas? Apakah kita ingin negara menuju ke zaman gelepan gereja yang menghukum
apa sahaja ilmu yang tidak serasi dengan kelompok tertentu tanpa alasan?” Lebih
daripada itu, menurut beliau lagi, adakah negara yang ingin maju seperti
Malaysia perlu mengharamkan bahan
ilmiah hanya kerana tiada selaras dengan selera KDN? Kalau begitu,
katanya, kita sedang mundur ke belakang,
bukan sedang membina modal insan. Namun, beliau bersetuju mungkin ada buku yang
boleh diharamkan, tetapi perlu dikemukakan alasan ilmiah.
Satu lagi buku yang turut diharamkan oleh KDN ialah karya tulisan Irshad Manji bertajuk
Allah, Kebebasan dan Cinta dan versi
bahasa Inggeris Allah, Liberty and Love
kerana kerana kandungannya dikesan
boleh mengganggu sensitiviti Islam, serta mengelirukan orang awam dan menyalahi
syariah yang ditetapkan dalam al-Quran dan hadis. Timbalan Menteri Dalam Negeri,
Datuk Wira Abu Seman Yusop berkata perintah larangan itu dibuat mengikut
Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984 kerana kandungannya
'boleh menggemparkan fikiran orang ramai dan memudaratkan keselamatan dan
ketenteraman awam.' Buku itu diharamkan selepas kementerian menerima laporan
dan ulasan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Antaranya, pandangan
terhadap perkahwinan campur antara Muslim dan bukan Muslim sebagai sesuatu yang harus dan pemahaman ini boleh
menjurus kepada pluralism. Buku itu juga mengandungi unsur penghinaan terhadap
Rasulullah SAW yang digambarkan dalam keadaan yang boleh mencemar kesucian
agama Islam. Selain itu, buku berkenaan juga mempertahankan fahaman sekularisme
dengan mencampuradukkan dengan nilai-nilai akidah. Ia turut memberikan
penerangan terhadap pelaksanaan kewajipan solat fardu lima waktu yang boleh
didirikan dalam pelbagai pergerakan dan bahasa malah lebih dari lima kali
sehari. Kenyataan itu menurut KDN boleh menimbulkan kekeliruan kepada orang awam
terhadap kewajipan menunaikan solat fardu lima waktu. Buku ini juga menyeru
kepada logik akal semata-mata dalam ijtihad dan penolakan konsep ijmak yang
dikhuatiri akan menggalakkan interpretasi hukum-hukum agama yang tidak
berpegang kepada nas-nas al-Quran dan al-hadis (Bernama, 24 Meri 2012).
Dalam kes berkenaan, sebuah kedai buku di Bangsar diserbu jabatan Agama Islam Wilayah
Persekutuan dan ia telah merampas
buku-buku berkenaan. Pembantu kedai buku
Borders telah ditahan dan didakwa kerana ‘menyebar dan
mengedar’ buku berjudul Allah, Liberty
and Love.
Tiga buku lagi, iaitu Pengantar Ilmu-Ilmu Islam, Dialog Sunnah Syi’ah dan Tafsir Sufi
al-Fatihah diharamkan penjualannya di Malaysia pada 2012 kerana dianggap
menyebarkan fahaman Syiah. Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk
Seri Jamil Khir Baharom menjelaskan kerajaan memandang serius penyebaran ajaran
Syiah di negara ini kerana bertentangan
dengan ahli Sunah Wal Jamaah. Buku hasil tulisan Murtadha Muthahhari, A. Syarafuddin
Al-Musawi dan Jalaludin Rakhmat dari Indonesia itu diharamkan oleh KDN sejak
awal Mac 2012. Pada 25 Ogos 2011, Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim) menyerbu
sebuah rumah di Taman Paya Dalam yang dipercayai menjadi markas penganut
fahaman Syiah di negara ini. Sebanyak 35,000 buku dan risalah yang diharamkan
KDN ditemui. Buku-buku ini diserahkan kepada KDN untuk diwartakan (Utusan Malaysia, 30 Mac 2012).
KDN
turut mengharamkan 12 buku yang
disifatkannya mengandungi unsur yang dapat mengancam keselamatan awam
dan moralit pada 2014. Menteri Dalam
Negeri Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata pengharaman itu selari dengan Seksyen
7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984. Buku yang diharamkan Akhirnya Ku Temui Kebenaran karya Dr Muhammad Al-Tijani Al-Samawi/terjemahan
oleh UIA Islamic Studies Group, Agama Politik Nalar Politik Islam (Ahmad
Vaezi/Ali Syahab), 99 Wariat Imam Ja'far
Ash-Shadiq Lentera Ilahi (Imam Ja'far Ash-Shadiq/Rahmani Astuti), Saling Memberi Saling Menerima (Sayyid Mahdi
As Sadr /Ali Bin Yahya), Fatwa-Fatwa 2
Soal-Jawab Seputar Muamalah Ahlulbair (Ayatullah Al-Uzhma Imam Ali
Khamenei/Mubsin Labib). Teladan Abadi
Ja'far Shadiq Sang Mahaguru (Husain Nahrawi), Teladan Abadi Hasan Askari Tumpuan Kaum Papa (M.Ilyas & Hasan
Al-Habsyi), Teladan Abadi Husain Syahid (Abdullah
Beik).Fatimah Az-Zahra' & 9
Keturunannya Yang Mulia (Tarikuddin Bin Haji Hassan), Imamul Muhtadin Ali Bin Abi Thalib (H.M.H Al-Hamid Al-Husaini), Meniti Titian Kebenaran (Khair Izzah)
dan Memories Of Muhammad: Why The Prophet
Matters (Omid Safi) (Bernama, 4 Feb2014).
Sepanjang 2015, sebanyak 42 tajuk buku
telah diharamkan oleh KDN, iaitu 20 judul bahasa Inggeris dan 22 judul dalam bahasa
Melayu. Ini termasuk karya Kassim Ahmad bertajuk Jalan Yang Lurus: Kita Harus
Meneroka Jalan Ini.
Keputusan oleh makhamah memberi kuasa
kepada jabatan agama negeri berkenaan untuk mengawal selia penerbitan di bawah
Seksyen 16 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 1995. Bagi Suara Rakyat Malaysia
(Suaram) keputusan mahkamah berkenaan akan memberi kausa kepada jabatan agama
negeri dalam mengawal penerbitan dan pengedaran buku agama Islam di negara ini.
Hal ini, menurut laporan itu, akan menjadi penghambat bagi kebebasan bersuara
berkaitan dengan percetakan dan penerbitan di Malaysia, selain kawalan
dilakukan oleh KDN.
Kini,
penulis, penerbit dan pencetak perlu lebih berwaspada terhadap kuasa yang turut
dimiliki oleh beberapa badan agama negeri untuk menghukum mereka di bawah
kesalahan jenayah Syariah. Perkara ini diperkukuhkan lagi melalui kenyataan
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang membuat
kenyataan di Parlimen bahawa penerbitan Islam yang menyeleweng daripada ajaran
agama Islam sebenar akan dirujuk kepada Jakim.
KDN
turut mengharamkan tiga judul buku
berunsur Islam kerana isi kandungan yang disifatkannya sebagai mengelirukan dan
mungkin memudaratkan orang awam. Antara buku tersebut ialah Perukonan Romanise, Siri Pahlawan Islam Bilal Bin Rabah dan Hadith Pilihan Shahih Bukhari. Mengikut portal KDN, tarikh perwartaan pengharaman itu
adalah pada 18 Ogos 2015. Perukonan Romanise karangan Norain H Muhammad
diterbitkan H Hashim H Abdullah dicetak oleh Al Ahmadiah Press (Pte) Ltd
berbahasa Melayu. Siri Pahlawan Islam Bilal
Bin Rabah karangan Mohamad Fadhil Umar
diterbitkan Buku Prima Sdn Bhd dan dicetak oleh Dasae Cetak(M) Sdn Bhd. Hadits Pilihan Shahih Bukhari karangan Ustaz Labib MZ diterbitkan Bintang Usaha Jaya
dalam bahasa Indonesia. Setiausaha Bahagian
Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran, Hashimah Nik Jaafar, berkata perintah
larangan berkuat kuasa semalam mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan
Penerbitan 1984.
KDN turut mewartakan perintah larangan terhadap
penerbitan tujuh buku berunsur keagamaan yang boleh memudaratkan ketenteraman
dan kepentingan awam, berkuat kuasa 3 November 2015. Setiausaha Bahagian
Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran KDN, Hashimah Nik Jaafar menjelaskan isi
kandungan penerbitan berkenaan didapati dapat mengelirukan umat Islam di negara
ini. Ia menyalahi syariah yang ditetapkan dalam al-Quran dan al-Hadith.
Tujuh buah buku berbahasa Melayu itu ialah Warisan Ilmu Tok Kenali Kelantan: Mengenal Diri, Warisan Ilmu Tok
Kenali Kelantan: Mati Sebelum Mati, Warisan Ilmu Tok Kenali Kelantan: Cahaya Di
Atas Cahaya dan Warisan Ilmu Tok Kenali Kelantan: 7 Petala Langit dan 7 Petala
Bumi. Turut dikenakan perintah larangan itu ialah Warisan Ilmu Tok Kenali Kelantan: Mengenal ALLAH, Pusaka Ilmu Tok
Kenali Mengenal ALLAH (Tok Kenali Kelantan) dan Pusaka Ilmu Tok Kenali Mengenal
Diri (Tok Kenali Kelantan).
Kesemua buku berkenaan diterbitkan oleh
Tujuh Likur Enterprise. Pewartaan
Perintah Larangan itu adalah menurut Seksyen 7 (1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan
1984 (Bernama, 7 Disember 2015).
KDN
turut mengenakan perintah larangan terhadap empat buku kerana
disifatkannya mengandungi unsur bercanggah dengan ajaran dan akidah Islam yang
sebenar serta fakta tidak benar mengenai institusi keselamatan negara. Ketua
Setiausaha KDN Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata buku terbabit adalah Pergolakan Pemikiran Islam: Catatan Harian
Ahmad Wahib, Malaysia And The Club Of Doom: The Collapse Of The Islamic
Countries, Torture In Malaysia Prisons: Who You Didn’t Know And Need To Know To
Act dan The Qoran: A Very Short
Introduction. Keempat-empat penerbitan itu dikenakan perintah larangan
mengikut Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) kerana
terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam, menggemparkan
fikiran orang ramai, memudaratkan kepentingan awam, berlawanan dengan mana-mana
undang-undang dan memudaratkan kepentingan negara, katanya. Tiga daripada buku tersebut mengandungi
unsur mengelirukan yang boleh menimbulkan salah faham mengenai pelaksanaan dan
amalan agama Islam mengikut Ahli Sunnah Wal Jamaah yang ditetapkan di negara
ini, manakala sebuah lagi buku jika dibiarkan boleh mengelirukan pandangan
orang ramai terhadap institusi keselamatan negara, katanya (Bernama, 9
September 2016).
Pada April 2016, KDN mengenakan perintah larangan terhadap lima
penerbitan kerana mengandungi unsur-unsur yang boleh mengelirukan umat Islam
dan memudaratkan moral. Dua daripada lima penerbitan tersebut – Ajaran Makrifat Syekh Siti Jenar dan Israk
Mikraj: Tinjauan Saintifik Di Sebalik Kontroversi dikenakan perintah
larangan kerana mungkin memudaratkan ketenteraman awam dan mengandungi
unsur-unsur yang boleh mengeliru dan merosakkan akidah umat Islam. Setiausaha
Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran KDN, Hashimah Nik Jaafar berkata
perintah larangan itu adalah mengikut Warta Kerajaan P.U.(A) 76 dan 77
bertarikh 29 Mac. Tiga lagi penerbitan lain dikenakan perintah larangan mengikut
Warta Kerajaan P.U. (A) 85,88, dan 89 bertarikh 4 April 2016.
Pada November 2016, KDN mewartakan perintah larangan
terhadap 21 penerbitan kerana mengandungi unsur-unsur yang mengelirukan umat
Islam dan memudaratkan moral generasi muda. Ketua Setiausahanya, Datuk Seri
Alwi Ibrahim menjelaskan, dua daripada penerbitan itu dikenakan perintah
larangan melalui warta kerajaan bertarikh 4 Julai lepas manakala selebihnya
bertarikh 18 Julai. Menurutnya penerbitan terbabit bertajuk Isu Semasa Dalam Risalah: Kahwin Campur Antara
Muslim dengan Non Muslim dan Islam
and Homosexuality Volume 1, Mencontohi Para Wali, Syi'ar Manifestasi Tuhan
Dalam Wanita', 'Mereka Adalah Teroris, Ibnu Taimiyah: Rekam Jejak Sang
Pembaharu, Kitab Berlian Syahadat, Sejarah Syeikh Abdul Wahab Tuan Guru
Babussalaam dan Nabiyyurahmah Min
Minzoril Qurani Wa Ahlil Bayt. Penerbitan lain termasuk 1,000 Hikmat, Misteri
Alam Arwah: Persiapan Menjelang Ajal dan Kisah-kisah Mayat, Senjata Mukmin, Sabda
Rasulullah S.A.W: Mahdi Aku Ada Dua Tanda'. Kissing Cousins? Christians and Muslims Face to Face. Buku yang turut dikenakan perintah larangan ialah What Went Wrong The Clash Between Islam and
Modernity in the Middle East, Nomad: From Islam to America A Personal Journey Through
the Clash Civilisations, Lesbian Sex Positions, Sexual Intimacy for Women dan The
Whole Lesbian Sex Book. (Bernama, Malaysiakini, 24 Nov 2016) .
KDN dilaporkan akan menubuhkan
Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Hadis bagi menapis dan menyemak hadis
demi menjaga kesahihannya. Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi menjelaskan bahawa mesyuarat
Jemaah Menteri memutuskan supaya fungsi penapisan dan penyemakan hadis
dilaksanakan melalui Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Hadis. Menurut
beliau, dua garis panduan sedang disiapkan bagi melaksanakan fungsi kawalan
hadis iaitu Garis Panduan Penerbitan Teks Hadis dan Garis Panduan Penyemakan
dan Penilaian Hadis oleh Jawatankuasa Penyemakan dan Penilaian Hadis.
Pengawalan hadis oleh KDN bertujuan menjaga kesahihan teks hadis, sekali gus
mengawal penyebaran hadis-hadis palsu dalam masyarakat khususnya
melalui penerbitan. Pengawalan dan penyemakan hadis akan dibuat terhadap
penerbitan termasuk kitab-kitab hadis dan buku-buku agama bagi mengawal
penerbitan terutama yang boleh membawa penyelewengan akidah, menjejaskan
keharmonian dan ketenteraman awam serta perpaduan negara. Pada peringkat itu,
kawalan hadis akan dilakukan dengan mengguna pakai Akta Mesin Cetak dan
Penerbitan (AMCP) 1984. Selain itu, usaha jangka panjang perlu dilakukan untuk
mewujudkan akta khusus bagi mengawal hadis seperti Akta Percetakan Teks
Al-Quran (APTQ) 1986 yang khusus bagi mengawal Al-Quran, katanya.
Mengenai isu Al-Quran, Ahmad Zahid
menegaskan bahawa terjemahan Al-Quran tanpa teks bahasa Arab adalah
dilarang. Hal ini selaras dengan
keputusan Muzakarah Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Islam Kali Ke-24
pada 5 hingga 6 Jun 1989, yang memutuskan bahawa ‘adalah haram ditulis atau
digunakan mana-mana bahagian daripada Al-Quran dengan tulisan yang bukan huruf
Arab atau bukan sistem tulisan Al-Quran’.
Sejak akhir-akhir ini, LPPQ telah
mengesan terdapat penjualan naskhah Al-Quran yang diimport tanpa kelulusan KDN
dan didapati dijual secara meluas termasuk dalam talian. Antara kesalahan yang
dikesan pada Al-Quran yang diimport ialah menggunakan tulisan rumi dalam
penulisan ayat Al-Quran dan terjemahan Al-Quran tanpa teks bahasa Arab. Bagi
memastikan teks Al-Quran yang dibaca adalah tepat dan tidak mengandungi
kesalahan, masyarakat awam adalah dinasihatkan untuk berhati-hati atau
mendapatkan naskhah Al-Quran dengan memastikan naskhah berkenaan telah
diperakui oleh LPPPQ (Bernama, 2 Mac 2016).
Tindakan KDN dan badan agama
dicabar di mahkamah
Kementerian Dalam Negeri (KDN) telah membatalkan
pengharaman terhadap pengedaran buku berjudul A History Of God: The 4000-Year Quest of Judaism, Christianity and
Islam karya Karen Armstrong. Karya
yang melonjakkan nama Karen, itu ditarik balik oleh KDN pada 2014 selepas kejadian pelik pada
2007 (Fathi Aris Omar, 2014).
Selain itu, pada 2009, Mahkamah Tinggi memutuskan KDN melakukan kekhilafan semasa melaksanakan
budi bicaranya untuk mengharamkan buku bertajuk Muslim Women and the
Challenge of Islamic Extremism dan tindakannya itu tidak sah. Peguam K
Shanmuga yang mewakili pertubuhan Sisters In Islam (SIS) sebagai pemohon dalam
semakan kehakiman terhadap tindakan pengharaman buku itu oleh KDN berhujah
bahawa perintah itu 'ultra vires' Seksyen 7 Akta Percetakan dan Penerbitan
1984, dan tidak selari dengan Artikel 10(1)(a) Perlembagaan Persekutuan
berhubung kebebasan bersuara.
Beliau
berkata, sekalipun jika responden dianggap memiliki bidang kuasa untuk
mengeluarkan perintah itu atas sebab-sebab yang diberikan, tindakannya dalam
melaksanakan budi bicaranya untuk mengeluarkan perintah itu adalah khilaf, dan
boleh diketepikan. Pada Ogos 2009,
mahkamah membenarkan permohonan SIS untuk membuat semakan kehakiman
terhadap tindakan KDN yang mengharamkan buku yang
diterbitkan pada 2005 itu.
SIS yang mahukan supaya pengharaman itu
ditarik balik menamakan menteri dalam negeri ketika itu Tan Sri Syed Hamid
Albar sebagai responden. SIS mendakwa
pengharaman buku itu adalah di luar kuasa Akta Percetakan dan Penerbitan 1984
dan melanggar Artikel 8(2), 10(1)(a) dan 11(4) Perlembagaan Persekutuan.
Shanmuga berkata perintah itu dicemari oleh pencabulan terhadap keadilan kerana
tiada peluang diberikan kepada SIS dan tiada sebab diberikan semasa buku itu
diharamkan. Bagi SIS, pengharaman itu bukan bertujuan untuk menjaga
ketenteraman awam, sebaliknya semata-mata untuk mengelak daripada menghadapi
kritikan mengenai cara undang-undang Islam dan sistem pentadbiran undang-undang
peribadi Islam dilaksanakan di Malaysia dan antarabangsa Mahkamah Persekutuan menolak permohonan KDN
untuk kebenaran merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang mengekalkan perintah
Mahkamah Tinggi membatalkan larangan kementerian itu ke atas buku Muslim Women and the Challenges of Islamic Extremism
oleh pertubuhan bukan kerajaan SIS, yang didakwa memudaratkan ketenteraman
awam. Panel lima hakim diketuai Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Hashim Yusoff
berkata KDN gagal memenuhi syarat Seksyen 96 (a) Akta Mahkamah Kehakiman 1964
untuk mendapat kebenaran merayu (Sinar
Haria, 14 Mac 2013).
Terdahulu, KDN,
yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Noor Hisham Ismail, mengemukakan dua
isu undang-undang dalam permohonan itu bagi mendapatkan kebenaran Mahkamah
Persekutuan untuk mendengar merit rayuan berkenaan. Bagaimanapun, peguam Malik
Imtiaz Sarwar yang mewakili SIS berkata Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan
telah memutuskan perkara itu dengan betul berdasarkan fakta.
Beliau berkata permohonan KDN harus ditolak atas alasan isu undang-undang yang
dibangkitkan telah pun diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 2009. Panel
tiga hakim Mahkamah Rayuan sebelum itu
yang diketuai Datuk Abdul Wahab Patail mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi
dan berpendapat dakwaan KDN bahawa penerbitan buku itu memudaratkan
ketenteraman awam, tidak disokong bukti yang jelas.
KDN mengharamkan buku itu pada 31 Julai 2008 dan
SIS memfailkan permohonan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur
pada 15 Dis 2008 untuk satu perintah
certiorari bagi membatalkan larangan itu. Bekas Menteri Dalam Negeri Tan
Sri Syed Hamid Albar dinamakan sebagai responden dalam permohonan itu dan pada
26 Ogos 2009, SIS dibenar memulakan semakan kehakiman. Pada 25 Jan 2010,
Mahkamah Tinggi membatalkan larangan KDN ke atas buku itu selepas membenarkan
semakan kehakiman. Buku 215 halaman itu, yang diterbit pada Oktober 2005,
mengandungi himpunan esei oleh aktivis dan intelektual antarabangsa (Bernama,
2015).
SIS mempertikaikan keputusan Menteri Dalam Negeri ketika itu yang pada
pertimbangan mereka telah melakukan kesilapan. Mereka mendakwa pimpinan teratas
dalam negeri tidak sanggup untuk menghadapai kritikan dan sindiran yang
terkandung dalam buku tersebut. Tambah mereka lagi, setiap esei kritikan dalam
‘karya agung’ itu mempamerkan hujah-hujah yang bernas dalam usaha untuk
membantu memperbaiki sistem perundangan dan kehakiman Islam di Malaysia. Dalam
masa yang sama, mereka mengaplikasikan liberalisme dalam tindakan mereka
terhadap segala sesuatu. Jelas di sini kita lihat, alur Islam sebenar ingin
diselarikan dengan fahaman liberal yang sememangnya mustahil untuk dilorongkan
ke arah pembentukan akidah muslim sebenar.
Keputusan pengharaman oleh KDN yang diambil atas nasihat Jakim selepas penerbitan
dan pengedaran buku bahasa Melayu oleh ZI Publications mengambil kira bahasa
Melayu sebagai bahasa nasional dan merupakan lidah rasmi penganut agama Islam
di Malaysia. Edaran buku bahasa Inggeris yang pada asalnya hanya mencapai
sebahagian kecil masyarakat Malaysia akan dapat diperluaskan sekiranya edisi
bahasa Melayu disebarkan dengan mudah dan berleluasa. Tiga tahun kemudian, Mahkamah Rayuan
memutuskan bahawa rampasan buku Irshad
Manji oleh JAWI di kedai buku Borders tidak sah dari segi undang-undang kerana
dibuat tanpa sebarang pengumuman larangan atau pengharaman oleh pihak
kementerian. Datuk Zaid Ibrahim melalui kenyataan beliau berkenaan buku
terjemahan yang diterbitkan oleh syarikat penerbitan anaknya mengkritik
tindakan JAKIM yang mengharamkan tulisan Irshad Manji dalam buku kontrevesi
tu.“JAKIM tak ada kuasa untuk haramkan buku pun. Ini masalah menteri yang tak
faham tugas. Menteri JAKIM tak ada kuasa haram buku. Menteri Dalam Negeri je
ada kuasa!” Zaid Ibrahim (mstar),
Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) boleh merampas buku-buku
kontroversi mengenai Islam, walaupun tanpa Kementerian Dalam Negeri mengharamkan
buku-buku seumpama itu dalam kes membabitkan serbuan terhadap kedai buku
Borders berhubung tindakan JAWI merampas buku tulisan pengarang Kanada, Irshad
Manji. Implikasinya, JAWI boleh
mengatasi kuasa menteri dalam negeri dan merampas sebarang buku tanpa arahan
dari Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran kementerian tersebut.
Menteri Dalam NJegeri dalam afidavitnya menyatakan bahawa walaupun tiada
perintah pengharamannya pada hari buku itu dirampas, JAWI mempunyai kuasa untuk
berbuat demikian kerana buku itu melanggar Seksyen 13 Akta Kesalahan Jenayah
Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 .
Katanya, rampasan tersebut
boleh dilakukan oleh JAWI di bawah undang-undang berkenaan, tanpa sebarang
perintah pengharaman daripada kementerian. Menteri Dalam Negeri telah diarahkan
menjawab permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh Berjaya Books Sdn
Bhd, yang mengendalikan kedai buku Borders, bersama-sama dengan pembantu
pengurus besarnya, Stephen Fung dan
pengurus kedai buku Borders di Gardens Mall, Nik Raina Nik Abdul Aziz Nik Raina
(kiri) didakwa di Mahkamah Tinggi Syariah atas tuduhan mengedarkan buku Allah,
Kebebasan dan Cinta. Berjaya Books telah mencabar kes itu di Mahkamah
Tinggi dan menamakan JAWI, Kementerian Dalam Negeri, menteri yang menjaga
hal-ehwal Islam di Jabatan Perdana Menteri, sebagai responden (Dialog Rakyat
18/9/12)
Kassim Ahmad yang menulis buku Hadis: Satu
Penilaian Semula telah memohon KDN
menilai semula perintah larangan terhadap buku tulisan beliau itu pada 2015.Dr
Kassim telah menghantar surat kepada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri
Hishammuddin Hussein supaya pengharaman bukunya lebih 25 tahun lalu ditarik
balik. Hadis: Satu Penilaian Semula diharamkan pada tahun 1986 selepas
beberapa bulan diterbitkan kerana Majlis Fatwa Kebangsaan berpendapat ia
mengandungi fahaman yang bertentangan dengan akidah. Buku itu sebenarnya
memperlihatkan cubaan Kassim membedah hadis secara kritikal, antaranya menolak
pemahaman tradisi ahli hadis, mengkritik 'kelemahan' umum, kelemahan kritikan
sanad serta mengetengahkan 'kontradiksinya' dengan Quran, sains dan sejarah.
Buku itu mengumpulkan lima siri ceramah
berkaitan di Jabatan antropologi dan Sosiologi Universiti Kebangsaan Malaysia
(UKM) mencetuskan pelbagai reaksi serta dijawab oleh enam buah buku lain. Kassim positif nasib buku itu akan berubah
seiring pendekatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang
memperkenalkan banyak program transformasi dalam pentadbirannya. "Jadi
kita nak tengok balik apa yang kerajaan pimpinan Najib akan
buat dengan inovasi dan transformasi yang beliau lakukan ini," kata bekas
tokoh pemimpin gerakan kiri yang pernah sekejap menyertai Umno itu seperti
dipetik Malaysiakini.
Kassim juga menyifatkan langkah KDN merujuk
Jakim sebelum memutuskan status buku itu sebagai betul dan "menurut
prosedur". Seandainya penarikan pengharaman itu benar-benar berlaku, Kassim
berharap ia akan mencabar generasi baharu yang belum pernah membacanya agar
mengkaji semula kedudukan "ulama" dalam struktur masyarakat. KDN
mengesahkan ada menghantar surat kepada Bahagian Penyelidikan dan Perancangan
Jakim. Keputusan penarikan balik larangan itu bergantung kepada maklum balas
daripada Jakim.
Susulan pengharaman buku Muslim
Women and the Challenge of Islamic Extremism terbitannya, SIS telah
melancarkan kempen "Jangan haramkan buku" yang bertemakan "haram
buku = bakar buku". Sebanyak 2,000
poskad telah dicetak untuk diedarkan sebagai membantah pengharaman buku
berkenaan. SIS mengumpulkan poskad itu
untuk dihantar kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed
Hamid Albar. SIS juga telah menghantar
surat kepada KDN untuk meminta penjelasan mengenai buku yang diharamkan
itu.
Ternyata, penulis dan penerbit boleh mengambil tindakan tertentu jika
karya mereka diharamkan atau disekat daripada beredar di pasaran. Setakat ini,
sebagaimana dibuktikan daripada beberapa kes yang dibincangkan, antara langkah
yang boleh diambil oleh penulis untuk
menuntut hak mereka dari segi undang-undang adalah dengan membawa kes berkenaan
ke mahkamah. Dengan hujah yang konkrit,
penulis, penerbit atau pengedar boleh
mencapai kejayaan atau memenangi kes berkenaan. Penulis juga boleh memohon
supaya pengharaman terhadap karya mereka dinilai semula oleh KDN sesudah
berlaku perubahan landskap sosiopolitik
dan budaya serta kepemimpinan negara. Bagaimanapun, dalam kes Kassim Ahmad,
beliau gagal dalam percubaannya supaya pengharaman terhadap buku beliau ditarik
balik. Dalam usaha untuk menimbulkan kesedaran dalam kalangan masyarakat,
penerbit dan penulis juga boleh mengadakan
kempen seperti yang dilakukan oleh SIS setelah buku terbitannya diharamkan oleh
KDN.
Kesimpulan
Pada zaman lambakan maklumat dan
perkembangan intelektual, penerbitan buku wajar diberi galakan. Bagi memastikan
penerbitan buku dan industri buku tumbuh subur, kebebasan amat perlu diberi
kepada pengkarya dan penerbit untuk menerbitkan buku yang bermanfaat kepada
pembaca dan masyarakat pada keseluruhannya. Hakikatnya, tindakan mengharmam dan
menyekat sebarang terbitan, termasuk buku tidak
lagi relevan. Tindakan berkenaan hanya akan menyebabkan rakyat bersikap
antipihak penguasa.
Pendekatan yang dibuat oleh KDN mengharamkan
buku-buku Islam yang tidak selaras dengan pandangan panel yang dilantik oleh
mereka dapat menjuruskan negara kepada sikap antiakademik, jumud dan tidak
terbuka. Pendekatan sedemikian tidak membantu menyuburkan pemikiran
kritis dan analitis atau membangunkan minda rakyat dan percambahan ilmu,
sebaliknya hanya akan membantutkan pemikiran rakyat ketika kerajaan mengambil
usaha untuk mewujudkan masyarakat intelektual dan analitis.
Memang tidak wajar sesebuah buku
diharamkan melainkan terbukti mengancam keselamatan negara atau jelas
bertentangan dengan al-Quran dan al-Sunnah yang dapat mengelirukan umat. Buku
tidak harus diharamkan untuk melindungi kepentingan politik atau golongan
tertentu. Kita patut meraikan kepelbagaian pemikiran dan tafsiran, selagi tidak
menghina Allah SWT dan Rasul-Nya. Alasan bahawa sesuatu tajuk buku diharamkan hanya
dengan menyatakan buku berkenaan boleh
mengelirukan orang ramai adalah tidak munasabah pada zaman sekarang ketika
pembaca dapat dengan mudah mendapatkan melalui internet.
Pada
waktu yang sama, penulis dan penerbit perlu mengamalkan kebebasan yang
bertanggungjawab. Kebebasan tidak hatrus digunakan untuk menyebarkan sesuatu
yang bertentangan dengan akta dan undang-undang.
Kebebasan tidak harus disalahgunakan untuk menyebarkan sesautu yang bercanggah
dengan ajaran islam yang sebenar. Tentu tidak patut bagi mana-mana pengarang
dan penerbit untuk menulis dan menerbitkan buku yang dapat mencetuskan
ketegangan hubungan etnik dan agama sehingga kemudiannay dapat menimbulkan
keadaan huru-hara, dan seterusnya menyebabkan pergolakan sosiopolitik. Penulis
dan penerbit perlu memiliki akauntabiliti dan sikap bertanggungjawab terhadap
karya yang dilahirkan dan beredar di pasaran. Buku harus digunakan sebagai
jambatan untuk mewujudkan masyarakat pelbagai etnik dan agama di negara ini yang
lebih aman dan harmoni. Buku Islam perlu dijadikan sebagai obor pencerahan
tentang agama berkenaan, bukannya untuk mengelirukan umat.
Rujukan
Bernama.
2014. Home Ministry bans 12 books which threaten public order, morality, Feb
2014.
Bernama. 2016. KDN haram 4
buku seleweng fakta Islam, 9 September.
Fathi Aris Omar. 2014. Jakim
antara Ulil Abshar dan Karen. Malaysiakini, 10 Oktober 2014.
Hazman
Baharom, 2012. Pengamatan
ringkas seputar langkah pengharaman buku. Diakses 4 Dis 2016.
Jimadie Shah Othman. 2008.
SIS kempen 'Jangan haram buku', 19 Ogos.
Suakam. 2015. Malaysia Human Rights
Report 2015. Kuala Lumpur; Suara Inisiatif Sdn Bhd. Md. Sidin Ahmad Ishak. 1998. Penerbitan & Percetakan Buku Melayu
1807-1960. Kuala Lumpur: Dewan
Bahasa dan Pustaka.
Mohd Asri Zainal. 2008. Dlm. Mufti:
Alasan KDN haramkan buku primitif, Malaysiakini,
10 Oktober.
Mohd Safar Hasim. 2005. Akhbar di Malaysia: Antara Kebenasan dengan
Tanggungjawab. Bangi: Penerbit Universiti Kebangsaan Malaysia.
Nur Ain Shahirin Abdul Aziz. 2015.
Pengharaman Buku: Satu bentuk pencerobohan hak kebebasan. Diakses 1 Disember
2016.
Utusan Malaysia. 2012. Tiga buku sebar ajaran
Syiah diharam, 30 Mac.
No comments: